Terima kasih juga saya ucapkan kepada doktor dan jururawat di hospital swasta. Ketika hospital kerajaan sibuk merawat pesakit COVID 19, hospital swasta menerima pesakit-pesakit bukan COVID 19 untuk dirawat.
Terima kasih juga kepada anggota polis dan tentera yang menjaga sekatan jalan raya. Anda berpanas, berhujan, tetapi terus menjalankan tugas. Syabas saya ucapkan.
Juga kepada anggota Imigresen, Angkatan Pertahanan Awam, Bomba, RELA, pihak berkuasa tempatan dan lain-lain agensi yang turut membantu. Saya ucapkan terima kasih.
Terima kasih juga kepada insan-insan yang bermurah hati membungkus makanan untuk dihantar kepada para petugas di barisan hadapan. Mereka buat secara percuma tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Anda adalah insan yang hebat.
Begitu juga kepada anda yang bekerja menghantar makanan. Samada grab food, food panda atau lain-lain. Anda mengambil risiko. Orang lain duduk di rumah, anda keluar rumah untuk pastikan orang lain boleh makan. Anda melakukan satu pekerjaan yang mulia. Pesan saya, jaga kesihatan, jaga keselamatan, jangan bawa motor laju-laju. Anda juga insan yang hebat.
Pendek kata, kita ibarat sebuah keluarga besar. Kita saling bantu membantu ketika zaman susah. Kita jaga keluarga kita. Kita jaga jiran kita. Kita jaga masyarakat kita. Baik kita di kampung, di kawasan perumahan, di kondominium, di rumah flat. Kita jaga kita. Inilah nilai sebenar persaudaraan rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa.
Saudari-saudari yang saya kasihi,
Berdasarkan situasi terkini, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan telah dapat membantu para petugas kesihatan kita mengawal penularan COVID-19 ke satu tahap yang agak stabil. Menurut unjuran yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, PKP yang dilaksanakan dalam tempoh hampir sebulan yang lalu telah sedikit sebanyak mengurangkan kebolehjangkitan dan penularan COVID-19.